Saturday, July 26, 2008

PEMIMPIN PAS BUKAN MAKSUM

Sebagai seorang ahli PAS yang faham akan dasar dan matlamat parti seperti saya sendiri tidak akan berkecil -hati sedikitpun dengan kenyataan Raja Petra dan tidak akan berburuk sangka dengan beliau apabila beliau menegur pimpinan parti PAS.

Siapapun pemimpin PAS mereka bukanlah MAKSUM. Mereka juga boleh melakukan kesilapan seperti manusia lain. Kami ahli PAS tidak diajar menyanjung pemimpin kami seperti nabi.Kami diajar mentaati pemimpin sebagaimana yang diajarkan oleh nabi iaitu seseorang pemimpin itu wajib ditaati selagi mana ia tidak menyalahi Quran dan Hadis.

Khalifah Omar sendiri mengajar umat islam di zaman beliau mengajar begitu. Diperingkat awal perlantikan sebagai khalifah beliau menegaskan bahawa beliau bukanlah yang terbaik maka sekiranya beliau melakukan kebaikan maka bantulah beliau malah jika beliau melakukan kesilapan dan kesalahan maka beliau meminta agar dirinya diperbetulkan . Ini dia yang dikatakan pemimpin dalam ISLAM.

Pemimpin bukan untuk dipuji-puji dan diampu serta diangguk sahaja setiap perbuatan dan keputusannya kerana selepas nabi tiada lagi manusia yang MAKSUM.

Semua ini diajar dan sentiasa diingatkan kepada kami di dalam usrah-usrah yang dianjur oleh PAS untuk ahli-ahli yang benar-benar ingin berada didalam perjuangan PAS dalam ertikata yang sebenar.

Cuma ahli-ahli biasa yang tidak mengikuti program-program ilmu yang dianjurkan oleh PAS di setiap cawangan sahaja yang mungkin tidak begitu kuat berpegang teguh kepada fahaman ini.

Sudah tentunya sebagai mana-mana pemimpin PAS di setiap peringkat telahpun sedia maklum dan sepatutnya lebih kuat fahaman mereka dalam soal ini. Akan tetapi jika mereka sendiri sebagai seorang pemimpin boleh merasa tersinggung dan berasa hati malah berasa marah bila ditegur oleh kalangan ahli mahupun rakyat seluruhnya bermakna mereka masih ada masalah dalam diri mereka dan tidak layak berada di kalangan pemimpin.

Kerana itu saya tidak setuju istilah ’serang’ diguna kepada Raja Petra dalam usaha beliau menegur pemimpin kami. Sebenarnya bagi saya sendiri, Raja Petra telah pun membantu kami sendiri sebagai ahli PAS untuk memperbetulkan mana-mana kesilapan dan kealpaan mana-mana pun dikalangan pemimpin kami dan apakah kita ahli PAS dan kita semua ingin seperti sikap UMNO yang mana pemimpin mereka tidak senang bila ditegur dan penegur boleh diambil tindakan. Itu budaya UMNO yang kita PAS kena buang jauh-jauh.

Dalam soal nada dan bahasa itu adalah gaya Raja Petra dalam penulisannya dan itu bukan alasan untuk kita sebagai seorang telah profesional untuk menolak teguran beliau.

Apakah bermakna seorang pemimpin hanya akan mendengar teguran seorang yang berpengaruh dan berjawatan tinggi sahaja? Jika begitu apakah Omar akan mengiyakan teguran yang dibuat oleh seorang wanita apabila Omar mempersoalkan soal mahar di kalangan wanita zamannya dimana Omar akhirnya menerima teguran wanita itu secara terbuka.

Saya secara peribadi mengucapkan terima kasih kepada Raja Petra yang sudi menegur pimpinan kami walaupun ia agak pahit tetapi beliau menegur melalui isihati beliau kerana kita semua tahu beliau dalah seorang yang tegas dan berpendirian teguh dengan pandangannnya. Tidak timbul langsung beliau seperti disuruh atau diarah oleh sesiapapun . Tuduhan begitu adalah berniat kotor dan jahat terhadap beliau dan kita semua.

Jika apa-apapun didalam teguran beliau itu salah di segi fakta mahupun ilmu itu adalah kelemahan di pihak beliau sendiri dan beliau pula perlu redha untuk diperbetulkan pula.

Saya cuma berharap kita semua ahli PAS agar tidak cepat melatah dan cepat melenting malah mudah dilaga-lagakan oleh pihak-pihak yang suka memecah belahkan pihak golongan-golongan seperti kita ini yang sama -sama ingin menegakkan kebenaran dan menumbangkan kemungkaran di dalam negara kita ini.

Walau apapun fahaman dan pegangan perjuang kebenaran dan keadilan di negara kita ini, kita perlu bersatu-padu dan sebaris dalam wadah yang hak dan jangan sesekali boleh dikotak-katik dan dilaga-lagakan oleh suara-suara sumbang dikiri-kanan kita terutama mereka-mereka yang menjadi tali barut dan jurucakap kepada UMNO sana.

Hak itu Islam, Kerja itu kini REFORMASI.

M.Lokman Yasin

No comments: