Monday, May 5, 2008

Kebebasan akhbar: Malaysia ditangga 141 dari 195 negara di dunia

Kebebasan akhbar: Malaysia ditangga 141 dari 195 negara di dunia Cetak E-mail
Oleh Webmaster KLpos
Isnin, 05 Mei 2008

KL: Kajian antarabangsa baru-baru ini meletakkan Malaysia pada tangga ke 141 daripada 195 negara yang dikaji dalam senarai kedudukan kebebasan akhbar, kata Ketua Pembangkang Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Menurutnya, kajian yang diusahakan oleh Freedom House itu bermakna Malaysia tergolong dalam kategori "negara yang
tidak bebas" bersama dengan negara-negara di Benua Afrika seperti Cameron dan Libya.

"Media merupakan sumber utama penyibaran maklumat dalam usaha membentuk sebuah negara bertamadun. Justeru kebebasan media adalah antara intipati penting bagi sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi," katanya dalam satu kenyataan.

Kepentingan peranan media yang bebas ini diakui sejagat apabila 3hb Mei diisytiharkan sebagai Hari Kebebasan Akhbar Sedunia.

Jelas beliau, sikap kerajaan BN yang mengongkong media perdana maka wujud ribuan pejuang-pejuang siber pada pilihanraya ke 12 yang lalu. Para pejuang siber telah mencorak iklim politik negara dengan membentuk Tsunami Politik
lalu memberi tamparan hebat kepada kerajaan Barisan Nasional.

"Perdana Menteri sendiri telah mengakui kehebatan pejuang siber ini malangnya beliau tidak pula mengambil iktibar daripadanya. Tindakan pihak berkuasa menyoal siasat salah seorang penulis blogger terkenal dan seorang kolumnis akhbar The Sun di ambang Hari Kebebasan Media Sedunia menunjukkan kerajaan masih gagal memahami tuntutan massa," katanya.

Menurutnya lagi, Kerajaan Barisan Nasional seharusnya maklum dengan arus globalisasi dan maklumat tanpa sempadan.

Apatah lagi negara ini telah merdeka lebih setengah abad. Rakyat yang merdeka memerlukan minda yang merdeka untuk turut serta membangunkan negara dan menikmati arus pembangunan tersebut.

"Justeru Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) menggesa kerajaan jangan lagi menongkah arus. Akta Mesin Cetak dan Penerbitan harus dikaji semula agar sesuai dengan kehendak zaman. Akta Kebebasan Maklumat hendaklah digubal segera sebagai langkah awal mewujudkan pentadbiran yang telus dan penuh pertanggungjawaban.

"Akhirnya, saya mewakili seluruh Ahli Parlimen dari Pakatan Rakyat mengucapkan terima kasih kepada semua wartawan, aktivis dan para pejuang siber yang tidak jemu-jemu berjuang menuntut kebebasan media. Saya harap usaha ini akan diteruskan bagi memastikan ruang demokrasi terus berkembang," kata beliau.

[ Kembali ]

No comments: